Dasar Transaksi Perdagangan. Bahagian 1

Berkuat kuasa pada 01.02.2017
Dikemas kini pada 01.12.2023

1. Peruntukan Umum

1.1. Dasar Transaksi Perdagangan ini (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Dasar”) menentukan prosedur dan syarat-syarat Syarikat menjalankan transaksi perdagangan dengan Pelanggan.
1.2. Dasar ini mentakrifkan prosedur bagi pemprosesan dan pelaksanaan pesanan untuk membuat dan menutup dagangan.
1.3. Syarikat berjanji untuk menjalankan operasi perdagangan mengikut Dasar dengan sepenuhnya.
1.4. Pelanggan memperakui bahawa satu-satunya sumber maklumat yang boleh dipercayai mengenai suapan sebut harga ialah pelayan Syarikat semata-mata. Tambahan pula, Syarikat mempunyai hak, mengikut budi bicaranya, untuk menggunakan apa-apa sumber maklumat untuk membentuk suapan sebut harga pada pelayan Syarikat, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, dagangan bursa, di kaunter dan sumber maklumat yang lain. Apa-apa maklumat pada suapan sebut harga yang berbeza daripada yang didapati pada pelayan Syarikat mengenai suapan sebut harga tidak memberikan asas yang cukup untuk pembatalan, penamatan atau semakan transaksi perdagangan. Sebut harga pada Terminal Perdagangan tidak boleh menjadi sumber maklumat yang boleh dipercayai mengenai suapan sebut harga kerana sekiranya terdapat sambungan yang tidak stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat, sesetengah sebut harga daripada suapan sebut harga mungkin tidak dipaparkan pada Terminal Perdagangan. Graf yang dipaparkan pada Terminal Perdagangan adalah indikatif. Syarikat tidak menjamin bahawa suatu dagangan akan dibuat pada harga yang ditunjukkan dalam graf pada Terminal Perdagangan pada masa pemberian permintaan atau pesanan tertentu Pelanggan. Harga aset yang disenaraikan pada Terminal Perdagangan dikira seperti berikut: (permintaan+bidaan)/2.
1.5. Sekiranya sebut harga bukan pasaran digunakan untuk melaksanakan pesanan Pelanggan dan "sebut harga bukan pasaran" merujuk kepada harga dalam Terminal Perdagangan yang tidak sepadan dengan harga pasaran apabila pesanan Pelanggan dilaksanakan, Syarikat mempunyai hak untuk membatalkan hasil kewangan transaksi sedemikian.
1.6. Pelanggan mempunyai hak untuk membuat dagangan hanya dengan menggunakan dana dalam akaun Pelanggan.
1.6.1. Sekiranya jumlah dana yang tersedia adalah cukup untuk membuat dagangan, dagangan akan dibuat.
1.6.2. Sekiranya jumlah dana yang tersedia adalah tidak cukup untuk membuat dagangan, dagangan tidak akan dibuat.
1.7. Pesanan Pelanggan untuk membuat dagangan atau menutup dagangan secara pramatang dianggap telah lengkap, dan dagangan dianggap telah dibuat atau, dengan sewajarnya, ditutup selepas rekod yang sepadan muncul di pangkalan data pelayan Syarikat. Setiap dagangan diberikan kod pengenalan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Syarikat. Pesanan yang disebut sebelum ini dilaksanakan mengikut harga sebutan terakhir pada pelayan Syarikat apabila Syarikat telah menerima pesanan yang berkaitan.
1.8. Apabila membuat dagangan, Pelanggan dilarang daripada:
1.8.1. Menggunakan perkhidmatan Syarikat dan/atau perisian untuk apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau penipuan, atau untuk apa-apa transaksi yang menyalahi undang-undang atau penipuan (termasuk pelaburan wang haram) mengikut perundangan negara lokasi Pelanggan.
1.8.2. Melaksanakan tindakan yang diselaraskan dengan Pelanggan lain Syarikat yang bertujuan untuk menyebabkan kerosakan (kerosakan-kerosakan) kepada Syarikat, dan menggunakan kaedah lain yang tidak adil dan tidak jujur untuk membuat dagangan (transaksi) dengan Syarikat untuk mendapatkan hasil kewangan daripada tindakan sedemikian.
1.9. Syarikat mempunyai hak untuk mengenakan sekatan berikut terhadap Pelanggan pada bila-bila masa mengenai syarat-syarat dagangan berikut:
1.9.1. Had pada jumlah Dagangan minimum dan maksimum bagi setiap aset.
1.9.2. Had pada jumlah bilangan/jumlah amaun Dagangan bagi dagangan yang dibuat oleh Pelanggan dan/atau bilangan/jumlah amaun Dagangan bagi dagangan yang dibuat oleh Pelanggan mengenai aset tertentu dalam tempoh masa yang diberikan yang ditetapkan oleh Syarikat (selang masa ditetapkan oleh Syarikat).
1.9.3. Had pada jumlah amaun Dagangan bagi dagangan yang dibuka secara serentak oleh Pelanggan, kedua-dua secara kolektif dan untuk setiap aset yang berasingan.
1.9.4. Sekatan lain bagi mana-mana syarat dagangan mengikut budi bicara Syarikat.

2. Mesej

2.1. Bagi permintaan, pengesahan, laporan dan banyak lagi, Pelanggan dan Syarikat akan berinteraksi melalui mesej. Interaksi antara Syarikat dengan Pelanggan, termasuk penjanaan mesej oleh Pelanggan, menghantar dan menyampaikan mesej kepada Pelanggan, akan dijalankan secara eksklusif melalui Terminal Perdagangan.
2.2. Semua mesej yang dihantar kepada Syarikat melalui Terminal Perdagangan dan disahkan melalui nama pengguna dan kata laluan Pelanggan dianggap telah dihantar oleh Pelanggan.
2.3. Masa pemprosesan untuk permintaan dan pesanan bergantung pada kualiti sambungan antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat serta keadaan pasaran semasa aset. Dalam keadaan pasaran normal, masa yang diperlukan untuk memproses permintaan atau pesanan Pelanggan biasanya ialah 0-5 saat. Dalam keadaan pasaran selain daripada pasaran normal, masa pemprosesan untuk permintaan dan pesanan Pelanggan boleh ditingkatkan oleh Syarikat.
2.4. Pelayan syarikat boleh menolak permintaan dan/atau pesanan Pelanggan dalam kes-kes berikut:
Jika Pelanggan menghantar permintaan sebelum sebut harga pertama muncul pada Terminal Perdagangan sebaik sahaja pasaran atau sesi dagangan dibuka.
Jika Pelanggan tidak mempunyai dana tersedia yang mencukupi untuk membuka aras baharu.
Dalam keadaan pasaran yang tidak normal.
Dalam kes-kes lain yang boleh diputuskan oleh Syarikat mengikut budi bicaranya.

3. Membuat Dagangan

3.1. Dagangan dibuat apabila Pelanggan dan Syarikat bersetuju dengan syarat-syarat penting dagangan. Perjanjian dicapai dengan cara pertukaran mesej, seperti permintaan untuk membuat dagangan dan pengesahan dagangan. Peruntukan Dasar yang berikut menerangkan prosedur untuk bersetuju dengan syarat-syarat penting perdagangan.
3.2. Sebelum membuat dagangan, Pelanggan memilih syarat-syarat penting transaksi perdagangan (dagangan) yang berikut:
Aset dasar
Arah pertukaran kadar
Jumlah dagangan
Masa Tamat Tempoh Dagangan
Nilai sasaran sebut harga aset (tahap sasaran, kadar sasaran).
3.3. Selepas memilih syarat yang disebutkan di atas, Pelanggan mestilah menyemak kadar semasa aset yang dipilih dan terma penentuan pendapatan dagangan.
3.4. Untuk membuat dagangan, Pelanggan menghantar permintaan kepada Syarikat untuk membuat dagangan yang mengandungi semua syarat-syarat penting perdagangan yang dinyatakan di atas, kedua-duanya dipilih oleh Pelanggan dan dicadangkan oleh Syarikat.
3.5. Jika terdapat sambungan Internet yang stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat, permintaan untuk membuat dagangan dihantar ke pelayan Syarikat, dan ia diperiksa untuk ketepatan dan pematuhan dengan keadaan pasaran semasa. Kemudian, permintaan tersebut sama ada dilaksanakan atau ditolak oleh pelayan. Sekiranya dagangan dibuat, jumlah dagangan akan ditolak daripada baki akaun Pelanggan. Tiada komisen dikenakan kerana membuat dagangan.
3.6. Permintaan untuk membuat dagangan mungkin dibatalkan jika:
Jumlah Dagangan melebihi baki akaun Pelanggan.
Masa untuk menerima dagangan telah tamat tempoh.
Masa untuk berdagang dalam aset yang dipilih telah berakhir.
Terdapat perubahan yang ketara dalam Kadar Aset dari ketika Pelanggan menghantar permintaannya sehingga ketika pelayan Syarikat memproses permintaan itu.
Syarat-syarat lain, yang ditentukan oleh Syarikat mengikut budi bicaranya, telah timbul.
Dalam situasi luar biasa yang diterangkan di bawah.
3.7. Pelayan syarikat menghantar mesej dengan keputusan permintaan untuk membuat dagangan ke Terminal Perdagangan Pelanggan. Sekiranya terdapat sambungan Internet yang stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat, mesej dengan keputusan permintaan akan dipaparkan dalam Terminal Perdagangan Pelanggan. Jika pesanan telah dilaksanakan, Pelanggan akan melihat pengesahan grafik pada Terminal Perdagangan dan maklumat tentang dagangan akan muncul di bahagian Terminal Perdagangan yang sepadan. Jika permintaan untuk membuat dagangan telah dibatalkan, Pelanggan akan melihat satu mesej ralat.
3.8. Sekiranya selepas menghantar permintaan untuk membuat dagangan Pelanggan tidak menerima pengesahan grafik bahawa dagangan telah dibuat, maklumat tentang dagangan baharu dalam bahagian Terminal Perdagangan yang sepadan, atau mesej ralat, Pelanggan tidak boleh memastikan sama ada dagangan telah dibuat atau dibatalkan. Pelanggan mempunyai hak untuk menghubungi Sokongan Pelanggan untuk menyemak status dagangan.
3.9. Pelanggan tidak boleh membatalkan permintaan untuk membuat dagangan selepas ia telah dihantar ke pelayan Syarikat.
3.10. Syarat penentuan pendapatan dagangan yang diterbitkan di laman web Syarikat adalah anggaran. Penunjuk terma yang dinyatakan di atas dalam aplikasi Syarikat atau laman web Syarikat tidak terikat sehingga dagangan dibuat. Terma yang tepat untuk penentuan pendapatan dagangan dipaparkan kepada Pelanggan pada Terminal Perdagangan selepas syarat-syarat penting dagangan telah dipilih dan pesanan Pelanggan telah diproses.

4. Menutup Dagangan, Mengira Pendapatan Dagangan

4.1 Dagangan sama ada ditutup secara automatik pada Masa Tamat Tempoh Dagangan atau ditutup pada saat penutupan dagangan pramatang oleh Pelanggan. Apabila dagangan ditutup, pendapatan dagangan dikira. Selepas penutupan dagangan, hasil kewangan dagangan (jumlah dagangan dan pendapatan ditambah kepadanya) ditambah ke baki akaun Pelanggan dan dagangan lenyap dari senarai dagangan terbuka dalam Terminal Perdagangan.
4.2. Pengiraan pendapatan Dagangan apabila dagangan ditutup pada Masa Tampat Tempoh Dagangan adalah seperti berikut: S*(100+K)/100, di mana S adalah jumlah Dagangan dan K adalah nisbah keberuntungan dinamik untuk dagangan yang dinyatakan sebagai peratusan dan yang bergantung pada dinamik sebut harga Aset Dasar.
Nisbah keberuntungan mungkin berbeza-beza dari -100 hingga 100 tetapi ia tidak akan melebihi jumlah maksimum yang dinyatakan sebelum pembukaan dagangan. Jumlah nisbah keberuntungan:
a) sama ada sifar atau positif jika arah dagangan adalah sama dengan arah Aset Dasar,
b) adalah sifar atau negatif jika arah dagangan tidak sama dengan arah Aset Dasar,
c) adalah sifar jika sebut harga Aset Dasar adalah sama seperti semasa dagangan dibuka,
d) mungkin berbeza dalam masa sehingga saat penutupan dagangan, bergantung pada perubahan sebut harga Aset Dasar, ketidaktentuan pasaran dan masa tamat tempoh dagangan.
4.3. Atas permintaan Pelanggan, dagangan boleh ditutup secara pramatang sebelum Masa Tamat Tempoh Dagangan dengan syarat bahawa Syarikat mempunyai keupayaan teknikal untuk berbuat demikian dan terdapat sambungan internet yang stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat.
4.4. Penutupan dagangan pramatang memerlukan perjanjian tentang syarat-syarat penting bagi penutupan dagangan antara Pelanggan dengan Syarikat. Persetujuan dicapai dengan cara pertukaran mesej seperti permintaan untuk menutup dagangan dan pengesahan penutupan dagangan.
4.5. Untuk menutup dagangan secara pramatang, Pelanggan boleh memilih dagangan yang ingin ditutup dan menghantar permintaan yang berkenaan. Selain itu, Pelanggan mestilah menyemak syarat penting untuk menutup dagangan bagi dagangan terbuka yang dipilih - nisbah keberuntungan untuk penutupan pramatang dagangan ini. Nisbah keuntungan untuk penutupan pramatang sesuatu dagangan mungkin berbeza daripada yang disediakan pada penutupan dagangan automatik dan ia ditentukan secara eksklusif mengikut budi bicara Syarikat secara sepihak dan bergantung pada jumlah dagangan, tempohnya, sebut harga aset semasa dan sasaran, ketaktentuan pasaran dan keadaan pasaran yang lain.
4.6. Jika terdapat sambungan internet yang stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dan pelayan Syarikat, permintaan untuk penutupan dagangan pramatang dihantar ke pelayan Syarikat, di mana permintaan tersebut diperiksa untuk ketepatan dan pematuhan dengan keadaan pasaran semasa. Kemudian, permintaan tersebut sama ada dilaksanakan atau ditolak oleh pelayan. Tiada komisen dikenakan untuk penutupan dagangan pramatang.
4.7. Permintaan untuk penutupan dagangan pramatang boleh dibatalkan dalam kes-kes berikut:
Masa untuk penutupan dagangan pramatang telah tamat tempoh.
Terdapat perubahan yang ketara dalam Kadar Aset dari ketika Pelanggan menghantar permintaannya sehingga ketika pelayan Syarikat memproses permintaan itu.
Semasa berlakunya syarat-syarat lain yang ditentukan oleh Syarikat mengikut budi bicaranya.
Dalam situasi luar biasa yang diterangkan di bawah.
4.8. Pelayan Syarikat menghantar mesej dengan keputusan permintaan untuk menutup dagangan secara pramatang kepada Terminal Perdagangan Pelanggan. Jika terdapat sambungan Internet yang stabil antara Terminal Perdagangan Pelanggan dengan pelayan Syarikat, keputusan permintaan bagi penutupan dagangan pramatang akan dipaparkan dalam Terminal Perdagangan Pelanggan.
4.9. Jika, selepas menghantar permintaan untuk menutup dagangan secara pramatang , keputusan permintaan tidak dipaparkan dalam Terminal Perdagangan dalam masa yang munasabah, Pelanggan tidak boleh memastikan sama ada dagangan telah ditutup atau penutupan dagangan telah dibatalkan. Pelanggan berhak untuk menghubungi Sokongan Pelanggan untuk menjelaskan hasil permintaan.
4.10. Pelanggan tidak boleh membatalkan permintaan untuk menutup dagangan pramatang selepas ia telah dihantar ke pelayan Syarikat.
4.11. Maklumat berkenaan nisbah keberuntungan untuk penutupan dagangan pramatang yang disiarkan di laman web Syarikat adalah anggaran. Maklumat yang tepat dipaparkan dalam Terminal Perdagangan selepas permintaan untuk menutup dagangan secara pramatang telah diproses.

5. Masa Dagangan

5.1. Syarikat menetapkan jadual dagangan, cth. waktu apabila dagangan boleh dibuat dan ditutup, secara berasingan bagi setiap aset.
5.2. Maklumat tentang masa dagangan yang diterbitkan pada laman web Syarikat, yang tersedia secara bebas, merupakan anggaran. Syarikat mempunyai hak untuk mengubah masa dagangan mengikut budi bicaranya.

6. Situasi Luar Biasa

6.1. Dalam situasi luar biasa yang dicirikan oleh keadaan selain daripada normal, tindakan Syarikat mungkin berbeza daripada yang diterangkan dalam Dasar semasa pelaksanaan transaksi perdagangan.
6.2. Situasi luar biasa termasuk:
Keadaan pasaran yang sebut harga mencapai platform perdagangan kurang kerap berbanding dengan dalam keadaan pasaran normal bagi tempoh masa yang panjang.
Keadaan pasaran dicirikan oleh perubahan pantas dalam kadar dalam tempoh masa yang singkat.
Penerbitan penunjuk makroekonomi yang utama dengan darjah impak yang tinggi pada pasaran kewangan.
Pengumuman keputusan kadar faedah oleh bank pusat.
Penampilan awam, pembentangan bank pusat, ketua negeri, menteri kewangan, ketua syarikat dan bursa dll.
Campur tangan pasaran pertukaran asing (manipulasi mata wang) oleh badan kerajaan.
Tindakan pengganas dan bencana alam pada skala seluruh negara.
Cetusan peperangan, tindakan ketenteraan, rusuhan.
Kejadian force majeure politik, termasuk peletakan jawatan, pelantikan, pemilihan wakil kerajaan, dan ketua syarikat.
Glic teknikal dan/atau operasi peralatan dan perisian Syarikat dan/atau pihak ketiga yang tidak betul yang mengakibatkan ketidakupayaan Syarikat untuk memberikan perkhidmatan kepada Pelanggan dengan cara yang sewajarnya.
Situasi yang disenaraikan dalam Fasal 7.1. Perjanjian Perkhidmatan, Bahagian 1.
Keadaan lain yang ekstrem dan tidak dapat dielakkan (force majeure).
6.3. Dalam situasi luar biasa Syarikat akan melakukan setiap usaha untuk melaksanakan transaksi perdagangan sebagaimana dalam keadaan biasa, namun, Syarikat mempunyai hak untuk:
a) Mengurangkan nisbah keberuntungan.
b) Menolak permintaan individu untuk pembuatan, penutupan secara pramatang atau pembatalan dagangan, dan untuk semakan (termasuk pembatalan) hasil kewangan bagi dagangan yang dibuat sebelumnya.
c) Mengehadkan bilangan permintaan daripada seorang Pelanggan dalam tempoh masa tertentu.
d) Hadkan Masa Tamat Tempoh Dagangan.
e) Menggantung dagangan yang berkaitan dengan jenis aset tertentu buat sementara waktu, dan/atau
f) Menggantung transaksi perdagangan dengan sepenuhnya.
6.4. Selain daripada situasi luar biasa yang dinyatakan dalam Fasal 6.2. Dasar ini, Syarikat mempunyai hak untuk menggunakan tindakan khusus atau semua tindakan yang dinyatakan dalam Fasal 6.3. Dasar ini mengikut syarat-syarat lain Dasar dan/atau Perjanjian.